OKTOBER 2024

Sarawak Kukuhkan Kedudukan Sebagai Peneraju Industri Sawit Dengan Pelaburan Infrastruktur Dan Teknologi


KUCHING, 14 Okt — Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam ucapannya di majlis Program Pemindahan Teknologi Sawit di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak berkata, walaupun Sarawak masih baharu dalam industri ini, negeri itu kini memiliki kawasan penanaman sawit yang terbesar dengan keluasan sebanyak 1.6 juta hektar.

“Perkembangan sektor komoditi penanaman sawit di Sarawak dan Sabah saya rasa agak lewat berbanding dengan Semenanjung Malaysia yang telah menyambut ulang tahun ke-107 industri sawit. Namun, kita di Sarawak mempunyai keluasan tanaman sawit terbesar di Malaysia, dengan 1.6 juta hektar. Walaupun kita baru mula, tetapi kawasan tanaman kita luas sekali,” jelas beliau.

Selain itu, Abang Johari turut memaklumkan bahawa Sarawak memiliki 83 kilang kelapa sawit, lima kilang pelumat isirong, dan enam kilang penapis yang digunakan untuk pengilangan dan pemprosesan sawit. Bagi tujuan eksport, pelabuhan utama ialah Bintulu dan Tanjung Manis, sementara kerajaan kini melabur sebanyak RM200 juta untuk membesarkan Pelabuhan Miri, yang akan memacu pertumbuhan eksport sawit dari utara Sarawak.

Beliau menjelaskan, “Pelaburan untuk membina Pelabuhan Miri yang baharu adalah langkah penting untuk menurunkan kos pengangkutan dan eksport sawit, terutamanya dari kawasan utara. Pelabuhan ini terletak 8km dari perairan Sarawak, dan ini akan memudahkan eksport sawit dari wilayah tersebut.”

Sehingga Ogos 2024, jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit dari Sarawak mencatat 3.13 juta tan dengan nilai eksport melebihi RM11.02 bilion, meningkat 13% berbanding RM9.78 bilion pada tahun 2023. Ini menunjukkan perkembangan positif dalam industri sawit negeri.

Premier Sarawak turut menekankan kepentingan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan hasil pengeluaran sawit. Beliau menyeru para pemain industri besar untuk melabur semula dalam penyelidikan bagi meningkatkan penggunaan teknologi moden dalam pengurusan ladang. Abang Johari juga memperkenalkan konsep ekonomi kitaran, yang bermaksud memanfaatkan sisa sawit untuk kegunaan lain seperti penjanaan tenaga, pengeluaran baja, dan makanan ternakan.

Dalam usaha mempertingkatkan kecekapan industri, kerajaan Sarawak telah melabur sebanyak RM10 juta kepada Swinburne University dan Sarawak Plantation untuk membangunkan jentera baharu yang mampu mengumpul buah sawit dengan efisien. Menurut beliau Sarawak Plantation telah pun berjaya menghasilkan jentera tersebut. 

“Sarawak telah berjaya menghasilkan jentera yang disokong oleh kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengenal pasti buah sawit yang masak dan mengumpulnya dengan cepat. Jentera ini boleh mengumpul hingga 1.2 tan buah sawit dalam masa dua minit,” tambah Abang Johari. Jentera ini dijangka akan membantu meningkatkan produktiviti industri sawit tempatan.

Abang Johari turut menekankan bahawa kerajaan Sarawak tidak akan berhenti setakat ini. “Apa yang seterusnya ialah kita akan terus memperbaiki mekanisme mesin yang telah dibangunkan ini. Sistem mekanikalnya sudah ada, namun kita perlu meningkatkan lagi keupayaan teknologinya,” jelas beliau. 

Ini termasuk penambahbaikan dari segi jentera untuk memaksimumkan kecekapan pengeluaran dan pengumpulan sawit, di samping meluaskan lagi penyelidikan teknologi yang boleh meningkatkan hasil serta kualiti industri sawit Sarawak di masa hadapan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Dato’ Abdul Hadi Omar yang mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi, Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Mohd Helmy Othman Basha, dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.